Scam pancingan data berlaku apabila scammer memperdaya anda untuk mendapatkan maklumat peribadi seperti kata laluan perbankan, nombor akaun bank, nombor kad kredit atau pin ATM anda. Scammer mungkin menghubungi anda melalui emel, media sosial, panggilan telefon atau mesej untuk menipu anda supaya mengemas kini butiran perbankan atau membawa anda ke laman web palsu untuk memperoleh maklumat peribadi anda.
Bagaimana mengenal pasti scam pancingan data?
- Anda menerima SMS, emel, panggilan telefon yang tidak dikenali atau mencurigakan yang meminta maklumat peribadi atau maklumat perbankan anda.
- Scammer juga boleh menyamar sebagai wakil dari organisasi terkemuka dan meminta maklumat peribadi atau perbankan anda dengan alasan 'menyiasat' isu yang telah dimaklumkan kepada anda di awal perbualan.
- Taktik scam adalah berbeza tetapi matlamatnya adalah sama - untuk mendapatkan maklumat peribadi atau perbankan anda supaya mereka boleh mencuri daripada anda.
Bagaimana melindungi diri anda daripada scam pancingan data
- JANGAN kongsi nombor kad ATM, nombor PIN, nama pengguna, kata laluan dan Kod Kebenaran Transaksi (TAC) anda.
- JANGAN respons pada permintaan TAC oleh pihak ketiga untuk mengemas kini nombor telefon bimbit.
- Kami menggalakkan anda untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila memberikan sebarang maklumat sulit (termasuk nombor kad kredit anda) melalui Internet/telefon atau mana-mana saluran lain.
- Jika anda syak anda telah memberikan respons pada scam SMS, emel atau telefon, hubungi bank anda dengan segera.