Maybank Menyediakan Bantuan kepada Pelanggan yang Terjejas akibat Kebakaran Saluran Paip Gas di Putra Heights
Susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights baru-baru ini, Maybank komited untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat kejadian ini. Pihak Bank menyedari cabaran yang dihadapi oleh individu dan perniagaan yang terjejas, dan menawarkan bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka dalam tempoh sukar ini.
Bantuan kewangan ini termasuk, antara lain, penangguhan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan, pengurangan ansuran bulanan, atau lanjutan tempoh pembayaran balik.
Selain itu, pihak Bank juga menawarkan pengecualian bayaran dan caj bagi perkhidmatan tertentu, seperti penggantian kad debit, kad ATM, atau buku cek yang hilang atau rosak akibat kebakaran tersebut.
Pelanggan yang terjejas boleh memohon bantuan kewangan ini melalui dua (2) saluran mudah, seperti berikut:
- E-mel ke weassist@maybank.com dengan menyertakan nama/nama syarikat, nombor IC/Pendaftaran Perniagaan, nombor telefon, jenis pinjaman/produk (contoh: Pembiayaan Perumahan, Sewa Beli/Pembiayaan Auto, Pembiayaan Berjangka); nombor kenderaan (untuk Sewa Beli/ Pembiayaan Auto); atau
- Kunjungi atau hubungi mana-mana cawangan, Pusat Perbankan Komersial, atau Pusat Pembiayaan Auto (yang mana berkaitan) di seluruh negara
Bagi pelanggan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS), mereka digalakkan untuk menghubungi terus Pengurus Perhubungan (Relationship Manager) masing-masing untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa, akan menyediakan perlindungan kepada semua pelanggan Motor, Kemalangan Diri, Kebakaran Runcit, dan Pemilik Rumah dan Isi Rumah yang layak dan terjejas akibat kejadian ini.
Etiqa juga akan menggerakkan pasukan penyelaras ke pusat-pusat pemindahan dan kawasan kediaman yang terjejas. Untuk memudahkan lagi proses tuntutan, keperluan untuk membuat laporan polis akan dikecualikan. Pemegang polisi atau sijil boleh mengemukakan tuntutan melalui Talian Khas Etiqa – Tuntutan Letupan Putra Heights di +6011-1630 6646 (WhatsApp) atau +603-2692 8188.